Sunday, June 28, 2009

Memilih Tempat Kembali

Dunia dan seisinya adalah dijadikan untuk manusia, sebagai tempat tinggal, kemudahan kenderaan dan sumber rezeki. Allah memuliakan manusia melebihi kebanyakan makhluk yang telah diciptaNya.

Nabi Adam bermula di Syurga. Di dalam syurga itu Nabi Adam dan Hawa diberi kebebasan untuk memakan dan meminum apa-apa yang mereka sukai, kecuali buah dari satu pokok. Namun, kerana terpedaya dengan godaan iblis la'anatullah, Nabi Adam telah melanggar perintah itu Baginda dan isterinya Hawa telah diusir dari syurga dan turun ke dunia. Hanya selepas Nabi Adam melanggar perintah larangan itu sahaja, barulah baginda berada di dunia.

Bagaimana pula dunia ini dijadikan untuk manusia, sedangkan Nabi Adam dan Hawa sebenarnya berasal dari syurga? Adakah disebabkan Nabi Adam melangagar larangan tersebut maka manusia keseluruhannya TERPAKSA menduduki bumi ini? Mungkin persoalan ini sedikit sebanyak memberikan kemusykilan kapada orang-orang biasa seperti kita.

Untuk menjawab pesoalan itu, kita perlu melihat urutan peristiwa bermula daripada penciptaan Nabi Adam sehingga baginda dihalau dari Syurga.

Dialog antara Allah dengan mlaikat dan iblis dikisahkan pada beberapa tempat di dalam Al-Quran. Antanya ialah Al-Baqarah ayat-ayat 30-39, Al-A'araf ayat-ayat 11-25, Al-Isra' ayat-ayat 61-65 dan lain-lain. Antara pengajaran daripada ayat-ayat tersebut ialah Allah mencipta Nabi Adam sebagai makhluk yang lebih mulia daripada malaikat. Iblis menjadi marah kerana dia menyangka yang dia adalah lebih mulia daripada Nabi Adam. Alasannya dia dijadikan daripada api sedangkan Nabi Adam dijadikan daripada tanah. Kemudian, iblis telah dilaknat disebabkan keingkarannya dan sikap takburnya untuk mengakui kemuliaan Nabi Adam itu.

Di dalam syurga Allah mengajar Nabi Adam dengan ilmu yang cukup dalam segala aspek ilmu pengetahuan supaya dapat menjadi khalifah yang mentadbir bumi, dan menunaikan tugas hakiki manusia sebagai hamba yang ta'at kepada segala perintah Pencipta mereka. Allah mengajarkan segala ilmu dan panduan bagi melawan godaan syaitan yang telah dilaknat dan telah disahkan sebagai musuh yang nyata bagi anak cucu Nabi Adam.

Namun, Nabi Adam telah tergoda oleh bisikan iblis laknatullah. Iblis berjaya membohongi Nabi Adam dan Hawa yang kononnya sebab mereka dilarang memakan buah itu ialah kerana Allah tidak mahu mereka menjadi malaikat atau terus tinggal kekal di dalam syurga. Ini bermakna mereka boleh tinggal di dalam syurga, tidak seperti tujuan asal mereka itu diciptakan (iatu di angkat sebagai khalifah di bumi).

Perbuatan Nabi Adam dan Hawa ini membangkitkan kemurkaan Allah. Mereka dihalau sebelum perintah penghijrahan dari Syurga ke bumi itu diterima. Al-Quran mengisahkan tetang kemurkaan Allah terhadap Nabi Yunus apabila beliau telah meninggalkan kaumnya sebelum datang perintah untuk berhijrah. Jadi kisah pelanggaran perintah berhijrah oleh para nabi bukan khusus kepada Nabi Adam sahaja.

Berlainan pula keadaannya dengan Nabi Muhammad Sallalahualaihi wassallam. Baginda menunggu perintah berhijrah sebelum melakukanya,walaupun berhadapan dengan tentangan dan pelbagai ancaman yang dilakukan oleh kaum musyrik Mekah. Inilah kelebihan Nabi akhir zaman ini. Nabi memberikan seluruh hidup baginda supaya setiap individu akhir zaman dapat kembali ke tempat mula-mula Nabi Adam dijadikan, iaitu ke Syurga. Dalam kata lain, secara fitrahnya, tempat kembali anak cucu Nabi Adam pada hari akhirat ialah ke syurga.

Iblis dan kuncu-kuncunya pula terus menerus menipu manusia, kerana takbur, dendam dan kedengkiannya yang mendalam terhadap Nabi Adam. Iblis bersumpah akan menyesatkan anak cucu Nabi Adam, agar keseluruan manusia semua tidak dapat kembali menemui Allah di syurga.

Allah tidak membiarkan manusia begitu sahaja untuk berhadapan dengan iblis dan kuncu-kuncunya tanpa panduan. Allah menghantar rasul-rasul dan nani-nabi (25 orang rasul disebutka di dalam Al-Quran) serta kitab-kitab suci yang mengandungi panduan yang lengkap bagi mereka mencari jalan pulang ke syurga. Manusia diberikan kebebasan memilih sama ada mahu kembali ke syurga dengan menta'ati perintahNya atau mengikuti iblis yang akan mengheret mereka ke dalam neraka, iaitu tempat kembali yang paling buruk (saat matlhira).

Dalam mengharungi penghidupan dunia yang fana ini, manusia dianjurkan untuk sentiasa memohon doa perlindungan dari syaitan yang direjam. Juga manusia dianjurkan untuk berdoa dianugerahkan husnul khatimah (kesudahan yang baik) dan tidak berakhir dengan suul khatimah (kesudahan yang buruk).

Tetapi kerap kali manusia akan tergelincir juga. Maka manusia dianjurkan supaya sentiasa melakukan beristigfar dan melakukan taubat nasuha. Kerana Tuhan yang Maha Pengampun lagi Mengasihani bersedia untuk mengampuni segala dosa hamba-hambaNya yang bertaubat, kecuali dosa syirik. Umat Nabi Muhammad amat beruntung kerana dianugerahkan dengan bulan Ramadhan yang dinamai juga bulan Rahmat. Dalam bulan ini, dengan rahmat Allah, amal soleh digandakan pahalanya. Di samping itu terdapat suatu malam yang dinamai malam lailatul qadar yang bernilai seribu bulan dari segi keberkatannya. Amalan yang dilakukan pada malam bersamaal denga beramal selama 1000 bulan.

Manusia adalah makhluk yang dimuliakan (ayat 70 surah Al-Isra) dan merupakan kejadian yang sangat baik (ayat 4 surah At-Tin). Manusia berasal dari syurga bukan evolusi daripada beruk. Maka inilah dia jalan pilihan, jalan yang lurus, jalan yang menunju ke tempat kembali yang baik, iaitu syurga yang merupakan tempat bermulanya sejarah manusia.

Berdoalah "Allahummakhtimni bihusnil khatimah; wala takhtimni bisuil khatimanah", insya Allah, dengan rahmatNya kita akan menemui jalan pulang itu.

Wallahu a'alam.

1 comment:

Mawar said...

Prof Ungu,
saya sedang membaca cerpen lama sahabat saya, SM Zakir "relung, kaca, pelita, pohon dan zaitun" dipindahkan dari surah an nur: 35. menarik sekali pengarang membuat re-analogi @ mimesis taufik dan hidayah Allah hanya kepada mereka yang dikehendaki-Nya.