Tuesday, December 29, 2009

Perpisahan?

Perpisahan boleh berlaku kerana mulut yang kadangkala gatal. Peribahasa kata, sebab pulut satan binasa, sebab mulut badan merasa. Mengapa sampai begitu?

Mulut menyebut sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang. Mulut boleh menyentuh perasaan orang, menyebabkan orang itu naik angin.

Mulut boleh mengata orang tentang sesuatu yang tidak disukai oleh orang yang dikata itu. Mulut boleh menyebut perkataan-perkataan yang tidak benar tentang seseorang. Mulut boleh mengatakan sesuatu yang menghina dan mencaci seseorang. Mulut juga boleh mengiyakan seorang yang mengatakan sesuatu yang tak baik kepada orang lain. Mulut juga boleh menokok tambah dan berlagak sebagai batu api kepada dua orang yang sedang berbalah.

Jadi, mulut boleh bertindak sebagai alat untuk memecah belahkan orang-orang yang bersaudara atau berkawan rapat. Mulut boleh membarakan api persengkataan antara dua kumpulan. Mulut boleh menjadikan orang lain marah kepada empunya mulut.

Bayangkan orang yang jadi marah kepada empunya mulut itu adalah isteri atau suami sendiri. Tentulah buah mulut itu akan menjadi punca perbalahan yang mungkin akan membawa kepada perpisahan. Katakanlah seorang suami (isteri) menceritakan kepada isterinya (suami) tentang adik-beradiknya yang membuat dia rasa tidak puas hati. Isteri (suami) pula menambah tokok untuk menampakkan lagi keburukan sifat adik beradik suami (isteri). Jangan disangka suami (isteri) itu bertambah benci kepada adik-beradiknya. Sebaliknya dia akan menjadi marah kepada isterinya (suaminya). Walaupun suami (isteri) tidak menyebutnya, tetapi dia akan mempertahankan adik beradiknya itu dalam hati. Kalau selalu terjadi begini, suami (isteri) akan bertambah baik kepada adik beradiknya tetapi benci pada isterinya (suaminya). Apa yang dikatakan dalam pepatah Melayu itu betul: Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga.

Kalau sudah parah, berpatah arang berkerat rotanlah jadinya! Itulah jadinya.

Sama juga dengan pasangan yang sedang bertunang. Jika seorang dari mereka mengata-ngata tentang adik-beradik atau ibupbapa tunangnya, natijahnya pun sama juga.

Jadi, dalam apa keadaan sekalipun, jangan sekali-kali mengata sesuatu yang tak baik pada keluarga pasangan. Kadang-kadang suami atau isteri bukan hendak meminta pandangan atau sokongan apabila dia menceritakan sesuatu yang tidak menyenangkan hati tentang adik-beardik atau ibubapanya. Dia hanya mahu meluahkan perasaan. Dia hanya mahu ada orang yang mendengar. Tetapi dia tak mahu sesiapapun yang masuk campur dalam urusan keluarganya. Cerita itu akan habis di antara empat dinding sahaja (within the four walls).

Kalau boleh sejukkan perasaan suami atau isteri itu dengan kata-kata yang membina agar persaudaraan adik beradik itu bertambah damai, bukan bertambah retak.

2 comments:

Mawar said...

Prof Ismad

ya, itulah sebaiknya. bukan hanya dalam kisah hidup rumahtangga, sebagai manusia yang mahu menjaga kebajikan di sini dan di sana, pun adalah lebih baik kita berdiam diri (tapi banyak menaakul dan berfikir) daripada berkata-kata yang tiada manfaatnya... wallahu'alam.

purplemelastoma said...

Dr. Mawar,

Thanks for the comment. May Allah bless all those who bring happiness to others, and accept repentance of those who have wronged others.